ahlan_wasahlan


Friday 22 July 2011

Info makanan sihat untuk kanak-kanak

Boleh dikatakan cabaran terkini ibu bapa mendidik anak adalah mengajak anak makan kerana selera si kecil tidak menentu dan kadang kala, ada yang langsung tidak mahu mengambil makanan sebaliknya selesa dengan hanya minum susu semata-mata.

Meskipun susu membekalkan tenaga dan anak anda kelihatan sihat, ada antara zat mahu pun vitamin hanya boleh didapati melalui pengambil makanan seperti sayur-sayuran dan buah-buahan.

Sehubungan itu, adalah penting bagi ibu bapa memikirkan cara tertentu untuk menarik minat anak menghadapi juadah setiap hari kerana umum mengetahui makanan daripada dapur sendiri jauh lebih selamat, terutama dari aspek kebersihan berbanding makanan yang dijual di luar kediaman sendiri.

Perunding Masakan, Rohani Jelani, berkata kanak-kanak perlu diajar mengambil makanan sihat dan ibu bapa juga wajar memujuk anak mengambil menu sihat demi kelangsungan tumbesaran serta kesihatan anak.

“Kadang kala anak tidak akan menjamah makanan yang disediakan ibu bapa kerana mereka mempunyai cita rasa sendiri sedangkan mereka perlu mengambil makanan sihat untuk tenaga dan juga proses pembesaran.

“Ibu bapa juga mungkin lebih senang menyediakan menu berdasarkan cita rasa mereka menyebabkan berlaku percanggahan pendapat dengan anak. Perlu ada penyelesaian dengan tolak ansur terutama membabitkan makanan sihat,” katanya pada bengkel Bento Naturel: Makanan Sesuai Untuk Kanak-kanak, di Bayan Indah, baru-baru ini.
Rohani berkata, kanak-kanak paling tidak suka mengambil sayur menyebabkan ibu bapa mungkin risau kerana sayur adalah antara sumber vitamin yang diperlukan tubuh badan. Begitu juga buah-buahan, kebanyakannya tidak digemari kanak-kanak.

“Kanak-kanak akan menolak makanan yang mereka tidak gemari, jadi penyelesaian yang dicadangkan adalah membuat perjanjian dengan anak supaya mereka perlu mengambil sayur sekurang-kurang sedikit setiap kali makan.

“Penyediaan makanan di dalam bento (kotak makanan) mungkin boleh membantu ibu bapa memujuk anak mereka menikmati makanan disediakan di rumah. Resipi menggunakan bahan seperti minyak masak Naturel menjadikan makanan kekal enak walaupun disimpan di dalam peti dingin beku,” katanya.

Pada bengkel berkenaan yang turut disertai oleh pihak media dan blogger, Rohani menyediakan resipi donut, kek pelangi, telur hancur udang dan bawang serta pasta tofu ayam.

Bengkel berkenaan ternyata mengujakan kerana pihak media perlu menyediakan sendiri empat resipi dengan bahan mentah, termasuk mentega dan minyak Naturel yang disediakan wakil Naturel dan Bayan Indah.

Lebih menggembirakan, penggunaan kotak bento daripada Rubbermaid memudahkan kerja menyimpan makanan selain kanak-kanak pasti tertarik untuk menikmati menu sihat dan mengenyangkan disediakan ibu bapa jika menggunakan kotak berkenaan.

Kanak-kanak perlu makan ikut piramid pemakanan

Ibu bapa sering menganggap kanak-kanak hanya perlu mengambil makanan dalam jumlah yang sedikit memandangkan saiz dan usia mereka yang masih muda walaupun hakikatnya kanak-kanak juga mengambil makanan yang hampir menyamai pemakanan orang dewasa.

Perunding Pemakanan, Indra Balaratnam, berkata kunci pemakanan yang betul adalah mengamalkan pengambilan makanan seimbang, sederhana dan pelbagai selain penting mengikut piramid yang disarankan kementerian kesihatan walaupun untuk kanak-kanak.

“Cara terbaik memperkasakan anak adalah melalui pemakanan kerana makanan adalah nutrisi penting yang membekalkan tenaga untuk anak sepanjang hari.

“Ibu bapa perlu tahu anak mereka juga mengambil jumlah makanan yang hampir menyamai mereka kerana kanak-kanak memerlukan tenaga untuk membesar dengan sempurna. Makanan yang mereka ambil memberi kalori, protein, kalsium dan semua vitamin yang diperlukan,” katanya.

Katanya, pemakanan yang baik akan menjadi asas penting untuk kanak-kanak membesar dengan sihat. Oleh sebab itu, mereka perlu makanan yang cukup untuk kekal sihat dan cara terbaik membekalkan anak dengan pemakanan sihat adalah mengikut piramid pemakanan.

“Kanak-kanak wajar digalakkan mengambil pemakan yang pelbagai berdasarkan warna makanan seperti oren, merah, hijau dan putih yang mana setiap warna menyumbang kepada vitamin tertentu yang diperlukan badan.

“Kentang umpamanya, kita lazim membayangkan kentang adalah kentang goreng yang dianggap makanan ringan, sedangkan kita boleh menyediakan kentang dengan menu sihat seperti memanggang atau menyediakannya dalam bentuk makanan lain seperti pegedil,” katanya.

Beliau berkata, cara lain untuk mendidik anak menikmati hidup sihat dengan pengambilan makanan yang juga membina sahsiah diri ialah sentiasa menyediakan buah-buahan yang sudah siap dipotong sebagai snek harian.

“Sentiasa sediakan buah-buahan yang sudah siap dikupas dan dipotong di rumah. Jadikan ia sebagai snek ringan di rumah. Sayuran seperti timun juga boleh dijadikan snek dengan cara memotongnya kepada saiz kecil sesuai dengan selera anak.

“Ibu bapa mendorong anak mereka mengambil buah atau sayur secara tidak langsung dan lama kelamaan mereka pasti menggemari snek sihat disediakan. Ibu bapa juga tidak digalakkan menjadikan makanan sebagai pemangkin untuk anak berkelakuan baik,” katanya.

Indra juga menasihatkan ibu bapa supaya memberi kebebasan kepada anak membuat pilihan mengenai makanan yang mereka suka dengan membawa mereka ke kedai memilih sayur, buahan dan makanan sihat lain.

“Perkasakan mereka untuk membuat pilihan dengan membiarkan mereka melihat dan memilih serta mengambil sayuran yang disukai. Galakkan mereka membuat keputusan dan terangkan kenapa mereka boleh atau tidak mengambil makanan berkenaan supaya mereka berasa teruja untuk makan,” katanya.

INFO:

# Elakkan anak mengambil makanan segera seperti makanan dingin beku.

# Sentiasa sediakan buah di rumah sebagai snek ringan untuk menggalakkan anak mengambil makanan sihat.

# Beras perang baik untuk kanak-kanak kerana mengandungi bahan antioksida yang diperlukan oleh badan.

# Beras perang juga tinggi serat yang boleh mengelakkan kanak-kanak terkena serangan jantung.

# Jangan jadikan makanan ringan atau makanan segera sebagai pemangkin untuk anak melakukan sesuatu.

# Cara terbaik menyediakan makanan untuk anak adalah dengan mengikut piramid makanan Malaysia.

Piramid Makanan Malaysia (Sila lihat contoh)

Lemak, minyak, gula dan garam
(Makan sedikit)

Susu dan produk tenusu, ikan, ayam, daging serta kekacang
(Makan secara sederhana)

Sayur-sayuran dan buah-buahan
(Makan banyak)

Nasi, mi, roti, bijirin, produk bijirin dan ubi-ubian
(Makan secukupnya).

No comments:

Post a Comment